Bismillahirrohmaanirrohiim

Beberapa Ulama Yang Beraqidah Alloh ada tanpa tempat


AL-SHAYKH SALIM AL-BISHRI AL-MISRI SHAYKHUL-AZHAR (w. 1335 H)

Al-Shaykh Salamah al-Quda^i al-^Azami al-Shafi^i (w. 1376 H) berkata dalam kitabnya Furqanul-Qur'an (Dar Ihya' al-Turath al-^Arabi, Beirut, hlm. 74) bahawa al-Shaykh Salim al-Bishri berkata:"Ketahuilah - semoga Allah menolong anda dengan taufik-Nya dan melorongkan kami dan anda ke jalan-Nya yang lurus - bahawa mazhab al-Firqatun-Najiyah (Golongan Selamat) dan perkara yang telah diijmakkan oleh golongan Sunni (Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah) ialah bahawa sesungguhnya Allah taala maha suci dari persamaan dengan perkara baharu (makhluk) iaitu menyalahi perkara baharu itu dalam semua sifat baharu. Dan antara perkara yang diijmakkan itu ialah Allah maha suci dari arah dan tempat sebagaimana bukti-bukti yang putus telahpun menunjukkan perkara itu". Intaha.

AL-SHAYKH YUSUF IBN ISMA^IL AL-NUBHANI AL-SHAFI^I AL-BAYRUTI (w. 1350 H) RA'IS MAHKAMATUL-HUQUQ DI BEIRUT

Beliau berkata kitabnya al-Ra'iyyatul-Kubra - sebuah karya puisi - (Mustafa al-Babi al-Halabi, Kaherah, hlm. 3):
فَلاَ جِهةٌ تحويه لا جهةٌ لهُ * تنزّهَ ربّي عنها وَعَلاَ قَدْرَا
"Maka tiada suatu arahpun yang meliputi-Nya, tiada suatu arah bagi-Nya. Tuhan-ku maha suci dari arah tersebut dan Dia maha tinggi dari segi martabat". Intaha


AL-SHARIF AL-SHAYKH ^ABDUL-MAJID AL-MAGHRIBI AL-TARABULSI AL-HASANI (w. 1352 H) SETIAUSAHA FATWA DI TRIPOLI (SYAM).

Beliau berkata dalam kitabnya Risalah ^Ilmiyyah fil-Isra' wal-Mi^raj(al-Mu'assasah al-Hadithah lil-Kitab, Beirut, hlm. 24):
"Allah tidak diliputi oleh suatu tempat pun, tidak dibatasi oleh suatu arah, tidak di atas dan tidak di bawah. Allah taala ada pada keazalian-Nya dan tiada suatu pun dari sekalian makhluk, tempat dan arah secara mutlak (pada keazalian-Nya)". Intaha.

Beliau berkata dalam kitabnya al-Kawkibush-Sharqi fi Radd Nazariyyah Labalas wa-Rufaqa'ihi (hlm. 57):
"Dan hendaklah diketahui di sini bahawa Allah itu pencipta sekalian makhluk dan (Dia-lah) yang mengadakannya, wajib pada akal bahawa Dia bukanlah suatu yang bersamaan dengan sesuatu dari mahkluk dari setiap segi. Dan tiada suatu pun dari sekalian makhluk ini melainkan ia dibatasi oleh tempat dan disempadani oleh arah. Dan setiap suatu tempat itu adalah suatu yang disempadani. Dan setiap suatu yang disempadani dan dibatasi itu pula adalah suatu yang baharu (iaitu yang kewujudannya didahului dengan ketiadaan), sedangkan Allah itu qadim (yang kewujudan-Nya tidak didahului dengan ketiadaan), maka tidak boleh pada akal untuk mengatakan bahawa Allah itu ada di suatu tempat atau dibatasi oleh suatu arah". Intaha.


.

PALING DIMINATI

Back To Top