Bismillahirrohmaanirrohiim

AMALAN TAHLIL - SANDARAN & HUJJAH

AMALAN TAHLIL - SANDARAN & HUJJAH

1. Majlis Tahlilan adalah suatu majlis yang dilakukan oleh keluarga si mati untuk bersedekah makanan bagi pihak si mati kepada kaum muslimin yang mana pada masa yang sama hadirin membacakan al-Quran, zikir dan selawat lalu diakhiri dengan doa agar pahala amalan tersebut sampai kepada si mati.

2. Menurut jumhur ulama, amalan sedemikian dibolehkan dan digalakkan seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi, Imam Rafie, Imam Suyuthi, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dan lain-lain.

3. Masyarakat melayu kita seringkali dilihat mengadakan majlis tahlilan dalam tempoh yang tertentu seperti 3 hari, 7 hari dan 40 hari.

4. Persoalannya daripada manakah datangnya kebiasaan ini?

5. Sudah tentu tidak ada seorang pun yang menganggap hukumnya wajib melainkan bagi mereka yang jahil. Usaha ini adalah ikhtiar keluarga bagi pihak si mati sahaja seperti mana hadis Nabi shalallahu alaihi wasallam:

ما على أحدكم إذا أراد أن يتصدق بصدقة تطوعا أن يجعلها لوالديه فيكون لوالديه أجرها وله مثل أجورهما من غير ينقص من أجورهما شيء
“Apa yang ada pada kalian, apabila disedekahkan dengan sedekah yang sunat, yang mana pahalanya dihadiahkan untuk kedua ibu bapanya, maka bagi kedua ibu bapanya pahala tersebut dan baginya juga mendapat pahala sama seperti yang diterima oleh kedua ibu bapanya tanpa berkurang sedikit pun.” 
(HR Ath-Thabarani dan Ibnu Hibban)

6. Berdasarkan pengajian dan penelitian saya, kebiasaan ini datang daripada beberapa hadis dan athar yang mana menjadi sandaran kepada amalan tersebut.

7. Sandaran bagi 3 hari:

حين طعن عمر أمر صهيبا أن يصلي بالناس ثلاثا وأمر بأن يجعل للناس طعاما
“Apabila Sayyidina Umar ditikam, beliau menyuruh Sayyidina Shuhaib untuk mengerjakan solat sunat bersama orang ramai selama 3 hari dan beliau memerintahkan agar disediakan makanan kepada orang ramai” 
(Diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Fil Hadis Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Al-Matalib Al-Aliyyah)

8. Sandaran bagi 7 hari dan 40 hari:

رجلان مؤمن و منافق فأما المؤمن فيفتن سبعا وأما المنافق فيفتن أربعين صباحا
“Orang mukmin dan munafiq kedua-duanya diuji di dalam kubur. Bagi orang mukmin akan diuji selama 7 hari. Manakala bagi munafiq pula diuji selama 40 hari.” 
(HR Ahmad)

Oleh yang demikian, kata Imam Suyuthi:

ان سنة الإطعام سبعة أيام بلغني أنها مستمرة إلى الآن بمكة والمدينة
“Sesungguhnya sunat bersedekah memberi makanan selama 7 hari telah sampai kepada ku, ia berterusan hingga sekarang di Mekah dan Madinah.” 
(Al-Hawi lil Fatawi, hal. 194)

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami juga menyatakan hal yang sama di dalam kitab beliau Al-Fatawa Al-Fiqhiah Al-Kubra.

9. Hal ini dapat dikukuhkan dengan kenyataan Imam Ibnu Asakir yang menaqalkan kata-kata Imam Nasrullah ibn Muhammad A-Qawiy Al-Masyisyi:

توفي الفقيه نصر بن إبراهيم في يوم الثلاثاء التاسع من المحرم سنة تسعين وأربع مائة بدمشق وأقمنا على قبره سبع ليال نقرأ كل ليلة عشرين ختمة
“Telah meninggal Imam Al-Faqih Nasr ibnu Ibrahim pada hari Selasa 9 Muharam tahun 490H di Damsyiq. Kami telah melaksanakan di kuburnya selama 7 malam, membacakan al-Quran pada setiap malam 20 kali khatam.” 
(Tabyin Kazb Al-Muftari, hal.287)

10. Oleh yang demikian, tidak hairanlah para ulama kita tidak melarang mempraktikkan amalan yang mulia ini. Bahkan kata al-Muhadith Maulana Abdul Haq bin Saifuddin Al-Dehlawi:

والمستحب ان يتصدق عن الميت بعد ذهابه من الدنيا الى سبعة أيام والتصدق الى سبعة أيام ينتفع بلا خلاف بين أهل العلم
“Dan digalakkan untuk bersedekah bagi pihak si mati selepas kematiannya selama 7 hari. Dan sedekah selama 7 hari itu memberi manfaat kepada si mati tanpa khilaf dalam kalangan ulama” 
(Asy’ah Al-Lima’at, juz.1, hal.634)

(Dinuqil daripada buku Majlis Tahlilan Polemik Sepanjang Zaman pada halaman 196-202)

Disediakan oleh: Ustaz Hafiz Al-Za’farani (HAZA)


.

PALING DIMINATI

Back To Top